Cabaran Mengintegrasikan Teknologi dan Cara Mengatasi
1.0 PENDAHULUAN
Proses globalisasi telah menyebabkan
wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep
pembelajaran global dan konsep perubahan tingkah laku (Nesbit & Adesope
2006). Melalui Dasar Pembangunan Negara dalam Rancangan Malaysia Kelapan
(2001-2008) pula menegaskan kepentingan membangunkan dan memperluaskan
penggunaan teknologi maklumat dalam pembangunan pendidikan. Langkah ini
bertujuan merancakkan pertumbuhan, melatih professional, meningkatkan
produktiviti, memodenkan pengurusan teknologi maklumat dan pengetahuan,
mengurangi jurang digital dan mempastikan semua rakyat mendapat manfaat
daripada ICT. Justeru, penggunaan teknologi dan ICT telah memberi kesan yang besar ke atas anjakan perubahan sistem
pengurusan pendidikan di sekolah.
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, teknologi adalah berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan,
dan penyebaran maklumat melalui teknologi komputer dan telekomunikasi. Namun, teknologi
bukanlah semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan idea.
Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk
mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. Ini bermakna dalam
merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea
sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan
proses yang terpenting (Heinich, Molenda & Russell, 1983).
Teknologi pendidikan
adalah gabungan manusia, ide, alat-alat, teknik dan peristiwa yang bertujuan
untuk memberi kesan baik kepada proses pendidikan (Crowell, 1971-Encylopedia of
Education). Penggunaan teknologi dalam
pengajaran dan pembelajaran (p&p) bermaksud proses pengajaran yang
melibatkan penerapan teknologi seperti komputer, kalkulator serta menggunakan
bahan bantu mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran. Oleh itu, proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang berteraskan teknologi merupakan
satu proses yang penting dalam memperkembangkan ilmu dan pengalaman pelajar
untuk meneroka dan memahami maklumat baru yang bakal disampaikan oleh guru
mereka tidak kiralah dalam subjek apa pun.
Setiap perkara yang
berlaku ada pro dan kontranya. Begitu jugalah dengan pengintegrasian teknologi
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik ini. Terdapat pelbagai cabaran
terutama dari pihak yang melaksana dan juga dari aspek alatan dan perkembangan
teknologi sendiri yang mengalami perubahan yang pesat. Di sini akan
membincangkan empat cabaran dengan cadangan bagi mengatasinya.
2.0 CABARAN MENGINTEGRASIKAN TEKNOLOGI DAN CARA
MENGATASI
Teknologi dapat membantu guru-guru menghasilkan bahan
pengajaran yang lebih menarik dan aplikasinya dalam proses pengajaran dan pembelajaran
akan menjadikan suasana lebih aktif dan menyeronokkan.
Banyak alat elektronik
yang telah direka untuk kegunaan pendidikan pada era teknokratik ini. Bagi mata
pelajaran Matematik terdapat beberapa jenis teknologi yang sesuai digunakan
untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah kalkulator,
kalkulator saintifik, kalkulator grafik, smart boards, perisian, lembaran
elektronik (spreadsheets), video, flash dan lain-lain. Penggunaan teknologi ini
dalam p&p matematik mampu meningkatkan lagi kefahaman tentang sesuatu
konsep, memberi gambaran visual, memudahkan pengiraan kompleks, merangsang
murid untuk belajar dengan berkesan dan dapat meningkatkan daya kreativiti,
inovasi dan imaginasi murid.
Malangnya, penggunaan
teknologi dan ict secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah masih
lagi terhad. Situasi ini berlaku kerana wujudnya pelbagai kekangan dan cabaran dalam
pengintegrasian teknologi terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran
Matematik di sekolah.
Cabaran-cabaran yang dimaksudkan ialah
daripada aspek :
2.1 Kesediaan Guru.
Guru adalah agen perubahan sosial
melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki. Pemikiran guru mestilah lebih
bersifat keterbukaan dalam menerima perubahan-perubahan baru dalam dunia
pendidikan. Maizun Binti Jamil (2009) menyokong pendapat Steers & Black
(1994) iaitu persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan
anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi.
Namun, jika diperhatikan
dalam senario dunia pendidikan hari ini, terdapat guru-guru yang telah lama
berkhidmat dalam dunia pendidikan enggan mengubahsuai corak pengajaran dan
pembelajaran serta tidak bersedia melaksanakan pembelajaran dinamik dalam
konteks penggunaan teknologi . Mereka telah sebati dengan kaedah tradisional
dan sukar membuat penyesuaian dengan teknologi. Mereka masih menggunakan buku
teks serta papan tulis semata-mata dan tidak mempunyai alternatif kaedah
pengajaran yang terkini.
Sesetengah guru juga merasakan
penggunaan kaedah pengajaran konvensional sudah cukup untuk menyediakan
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah, dan tidak
bersedia untuk berubah dan mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan
pembelajaran Matematik kerana masih terpengaruh dengan pendidikan berorientasikan
peperiksaan.
Cara
Mengatasi
Bagi mengatasi permasalahan ini,
perubahan sikap guru sendiri amatlah penting. Guru-guru perlulah bersedia
menerima perubahan dari segi mental dan fizikal dengan fikiran terbuka dan positif
serta berusaha menangani perubahan untuk mengintegrasikan teknologi dan ict dalam
pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.
Holmes (1999), memberi
pandangan bahawa integrasi teknologi dalam p&p memerlukan guru yang
bersedia dan fleksibel menggunakan teknologi dalam pengajaran harian bagi mata
pelajaran yang diajar. Guru perlu membuat persediaan untuk menyesuaikan diri
dengan alat teknologi pengajaran yang baru seperti komputer dan internet dan
menguasai pedagogi untuk mengurus kelas. Ini menyokong pendapat Yushau (2006)
iaitu untuk memastikan komputer digunakan secara meluas dalam kelas matematik,
guru perlu membina sikap positif terhadap teknologi.
Guru juga perlu mengubah
kaedah mengajar. Guru perlu menghubungkan penggunaan teknologi dengan konsep
yang diajar (Hughes, 2004). Justeru itu, dalam situasi pembelajaran, guru perlu
membuat perkaitan yang eksplisit atau jelas antara teknologi dan pengetahuan
professional mereka sebagai kaedah, atau kandungan subjek yang diajar. Guru
juga perlu ingat, teknologi digunakan sebagai alat penyampaian dan bahan bantu
belajar bagi pemahaman konsep dan aplikasi murid dan bukannya objek
pembelajaran supaya pengajaran dan pembelajaran matematik tidak lari dari
landasan yang sepatutnya.
2.2 Pengetahuan Guru.
Pengetahuan manusia umumnya adalah
sangat terbatas dan berada di takuk lama jika tidak ada inisiatif untuk
menambahkan ilmu. Pengetahuan adalah merujuk kepada peringkat ilmu tertentu
yang dipunyai oleh individu (Anderson, 1983). Selain itu, pengetahuan adalah
berkait rapat dengan pengalaman serta kemahiran yang dimilikinya. Menurut
Becker & Watt (1966), ada kalangan guru yang ‘buta teknologi maklumat dan
komunikasi’, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat mengajar
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.
Oleh itu, guru-guru
perlulah meningkatkan kemahiran mereka dalam
bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar lebih kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan
teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Guru-guru
yang tidak cekap menggunakan peralatan ICT seperti pemancar LCD dan laptop,
perkara ini akan menimbulkan masalah. Ketidakcekapan mengendalikan alatan
teknologi ini akan mengambil masa yang lama untuk menyediakan peralatan sebelum
memulakan proses pengajaran. Akibatnya, masa di bilik darjah terbazir begitu
sahaja memandangkan guru terkial-kial menggunakan peralatan ICT yang disediakan
pihak sekolah.
Terdapat juga guru-guru
yang tidak memahami nilai penggunaan teknologi maklumat ini menyebabkan mereka
malas untuk menyediakan bahan atau peralatan teknologi maklumat dan komunikasi
untuk pengajaran. Mereka juga menjadi malas untuk belajar serta mendalami ilmu
teknologi maklumat. Penggunaan teknologi maklumat seolah-olah memberi satu
bebanan kepada mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Menurut (Norizan Abdul
Razak, 1997) dalam kajian kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat dalam
pengajaran membuktikan bahawa guru-guru masih lagi ragu-ragu dan takut untuk
menggunakan komputer dalam pengajaran mereka. Malah ada juga guru-guru yang
berminat untuk belajar tetapi berputus asa kerana merasakan sukar untuk
menguasai bidang teknologi maklumat. Perkara ini menjadi salah satu perkara
yang membantutkan pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran
dan pembelajaran matematik yang berkesan di sekolah.
Cara
Mengatasi
Bagi mengatasi kelemahan ini,
guru-guru sewajarnya mengambil inisiatif sendiri tanpa perlu menunggu tindakan
pihak berwajib untuk menambahkan ilmu pengetahuan tentang tatacara penggunaan
alatan ict dan aplikasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru
boleh melayari internet, menggunakan buku-buku rujukan dan merujuk tutor atau
pakar ict yang ada di sekolah atau daerah bagi mendalami ilmu berkaitan
teknologi ini.
Selain itu, pihak
pentadbiran sekolah juga boleh menganjurkan kursus dalaman tentang pengendalian
alatan teknologi dan cara-cara menghasilkan bahan pembelajaran dengan
mengintegrasikan teknologi kepada guru-guru yang kurang mahir.
Pihak kerajaan juga wajar mengambil langkah untuk memberi
latihan intensif kepada guru-guru menerusi
program dan kursus khas seperti program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), taklimat
khas dan hands-on tentang penggunaan ICT dalam pengajaran dalam pembelajaran
pelajar oleh tenaga pengajar yang terlatih. Semasa LDP,guru-guru ini diajar
mengenai penggunaan Microsoft Word, Microsoft Excel, pengurusan emel, blog dan
sebagainya yang berkaitan.
2.3 Faktor Murid.
Faktor murid juga tidak dinafikan
memberi cabaran untuk mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran secara
berkesan. Ini kerana wujudnya ketidakseimbangan antara murid daripada pelbagai
aspek. Murid mempunyai pelbagai kecerdasan dan aras pembelajaran. Jadi, ada
murid yang tidak tahu menggunakan dan memahami bahasa komputer kerana latar belakang dan tahap ekonomi murid yang
tidak mampu dan tidak pernah mempunyai serta menggunakan alatan teknologi
seperti komputer, internet dan wifi di rumah. Ini menyebabkan kesukaran pihak guru untuk
menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kebanyakan program
pendidikan yang dibangunkan dalam bentuk ICT harus digunakan secara dua hala,
iaitu memerlukan interaksi balas daripada pelajar. Namun, hal ini tidak dapat
dilaksanakan jika pelajar tidak tahu dan takut menggunakan alatan dan gajet
ICT. Situasi ini berlaku terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini
akan menyebabkan wujudnya jurang digital antara murid dan secara tidak langsung
turut memberikan impak terhadap kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi digital di sekolah lantas membantutkan
pengintegrasian teknologi dalam pembelajaran matematik.
Ab. Rahim Selamat (1992)
menyatakan bahawa situasi jurang digital menyebabkan pengajaran guru kurang
berkesan dan tidak dapat diaplikasi di luar bilik darjah memandangkan sosioekonomi
murid–murid di luar bandar yang rendah. Penggunaan komputer yang terhad
dan tidak berterusan boleh membantutkan penerimaan ilmu pengetahuan yang hendak
disampaikan. Selain daripada itu juga, Ab. Rahim Selamat (1992) mengakui
wujudnya jurang perbezaan dari segi taburan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi di antara kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta
kawasan Lembah Kelang dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
Cara
Mengatasi
Bagi mengatasi masalah ini, guru-guru
boleh mempelbagaikan aktiviti pengajaran yang mengintegrasikan teknologi dalam
bilik darjah seperti menulis nombor, mewarna pecahan dan melukis gambar dengan
menggunakan lembaran spreadsheet atau power point. Murid digalakkan secara
aktif untuk melibatkan diri dalam pengajaran terutamanya kepada murid yang
tidak mempunyai kemudahan ict di rumah. Guru juga boleh memberikan ganjaran
kepada murid yang menunjukkan peningkatan dan berani mencuba untuk menggunakan
kemudahan yang ada di sekolah.
Pihak sekolah juga boleh
membantu dengan menganjurkan kelas komputer kepada murid-murid yang tidak berkemampuan.
Wujudkan pelbagai program dan pertandingan semasa minggu panitia matematik dan
murid boleh mengambil bahagian dengan mengaksesnya melalui frog-vle. Ganjaran
dan hadiah boleh disediakan bagi menggalakkan murid sentiasa mengakses
internet, membuat latihan serta menyertai peraduan yang dianjurkan.
Pihak kerajaan disarankan
untuk menyediakan peralatan komputer untuk diletakkan di tempat-tempat
strategik dalam kawasan sekolah bagi kemudahan murid yang tidak berkemampuan
memiliki alatan komputer di rumah seperti yang disediakan kepada
sekolah-sekolah bestari dan asrama penuh. Sekolah aliran perdana juga tidak
seharusnya dianaktirikan dalam menikmati kemudahan sebegitu.
2.4 Kekurangan Prasarana dan Penyelenggaraan
Alatan.
Cabaran masa kini dan akan datang
dalam sektor pendidikan ialah penyediaan prasarana komputer yang lengkap untuk
kaedah pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh ke semua sekolah. Bukan
mudah untuk menyediakan kemudahan komputer bagi semua pelajar. Ini bermakna
kemudahan komputer tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja tetapi
melibatkan keseluruhan pelajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan
sebagainya.
Oleh yang demikian, kemudahan
alatan teknologi dan ict yang ada di sekolah pada masa kini adalah tidak
seragam dan tidak mengikut nisbah murid yang sepatutnya. Ada sekolah yang hanya
meletakkan komputer di makmal sahaja dan ada yang disediakan dalam kelas-kelas serta
kawasan tertentu sahaja. Ketidakseragaman ini menimbulkan masalah dan cabaran
untuk guru bagi mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran
terutamanya matematik.
Pihak sekolah juga tidak mempunyai
sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai berbagai-bagai kos penggunaan
teknologi terutamanya untuk penyelenggaraan alatan. Selain itu, kelemahan
kepimpinan sekolah yang kurang komited terhadap penggunaan ICT juga boleh
menyebabkan sekolah tertinggal dari arus perubahan perdana yang berlaku
seterusnya mengakibatkan sekolah gagal memainkan peranan positif bagi membangunkan
pelajar supaya celik komputer, terutama di kawasan luar bandar.
Cara
Mengatasi
Sebagai cadangan mengatasinya, pihak
sekolah perlu memperbaiki infrastruktur teknologi dan alatan ict yang sedia ada
seperti kemudahan komputer, LCD, lebar jalur tinggi yang bersepadu dan
sambungan Internet serta makmal komputer secara berkala bagi menjaga jangka
hayat penggunaannya. Selain itu, alatan -alatan ini perlu sentiasa
ditambahnilai(upgrade) sejajar dengan perkembangan teknologi terkini supaya
tidak ketinggalan zaman.
Pihak sekolah juga perlu
meningkatkan infostruktur seperti rangkaian, kandungan tempatan, insentif dan
perundangan untuk membentuk persekitaran yang membolehkan penyediaan
infostruktur.
Bagi mengurangkan kos
untuk menyelenggara alatan yang mahal dari pihak luar, sekolah boleh memberikan
saguhati kepada guru-guru pakar yang ada untuk menjaga dan menyelenggara alatan
secara berkala.
3.0 KESIMPULAN
Keberkesanan penggunaan teknologi dan
ict dalam pengajaran dan pembelajaran memang tidak dapat dinafikan. Ia dapat
menambahkan minat murid untuk belajar dan mengenali sesuatu secara lebih dekat
dan mendalam. Namun kekangan dan birokrasi serta ketahanan komputer itu sendiri
menjadikan ia kurang diminati untuk digunakan.
Apa yang lebih penting
dalam pengajaran dan pendidikan ialah
pedagogi bukanlah penggunaan teknologi semata-mata. Teknologi tidak boleh
menggantikan kefahaman bermakna dan tabiat menggunakan teknologi untuk
memperoleh jawapan dengan cepat boleh menghasilkan kesan sebaliknya.
Oleh itu, dalam penggunaan teknologi
bagi pengajaran dan pembelajaran matematik ada beberapa perkara yang harus
dielakkan oleh guru. Pertamanya, guru tidak boleh terlalu berfokus kepada
teknologi dan kurang kepada matematik. Ini kerana, teknologi hanyalah sebagai
alat dan bukannya objek pembelajaran. Kedua, guru harus mengelakkan daripada
menggunakan teknologi secara ekslusif. Teknologi secara tabiinya adalah
abstrak. Pembelajaran akan menjadi bermakna jika teknologi digunakan dengan
alat-alat lain seperti bahan manipulatif. Pembelajaran tidak akan menjadi
bermakna jika pelajar tidak diminta untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Guru-guru harus sedar banyak
perkara yang perlu dipertimbangkan yang berkaitan tentang kelebihan relatif
mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik secara
berkesan terutamanya dari segi kesesuaiannya, kompleksitinya, kenampakannya
serta mestilah boleh dicuba. Menurut Harold Wenglingsky dari Princeton,
komputer boleh meningkatkan pencapaian murid sekaligus dapat meningkatkan
suasana sekolah ke arah yang lebih baik. Namun ia harus diletakkan pada tempat
yang sesuai dan digunakan dengan cara yang betul. Jika tidak, komputer akan
muncul sebagai sesuatu yang memberi mudarat kepada kita.
Kesimpulannya penguasaan
guru dalam bidang teknologi dan ict merupakan satu elemen penting dan satu
bonus dalam kerjayanya sebagai pendidik. Kelebihan menguasai dan mengendalikan
alatan teknologi dan ict mempunyai tujuan tersendiri dalam meningkatkan
prestasi murid sekaligus bagi memartabatkan bidang pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan