Selasa, Mei 26, 2015

“KEBERKESANAN MODEL METHOD DALAM PENYELESAIAN MASALAH DARAB DAN BAHAGI TAHUN 2” BAB 1


 “KEBERKESANAN MODEL METHOD DALAM PENYELESAIAN MASALAH  DARAB DAN BAHAGI
TAHUN 2”





BAB 1

1.1  Pendahuluan

Matematik adalah satu bidang ilmu yang mampu melatih minda supaya  berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Matematik merupakan  mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah dan menengah.  Sifat matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran.  Matematik juga adalah satu disiplin ilmu yang bersistematik dan menjadi bahasa dunia. Oleh yang demikian, matematik adalah antara bidang yang terpenting dalam sebarang usaha pembinaan insan.

Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) serta memastikan kurikulum sentiasa relevan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi mata pelajaran matematik  telah diolah dan disusun semula bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Penyusunan semula telah mengambil kira kesinambungan yang berterusan ke peringkat seterusnya. Pendidikan KBSR yang mulanya hanya menitikberatkan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira telah ditambahbaik melalui  kurikulum baru KSSR, iaitu kemahiran menaakul.  

Oleh itu, proses kognitif dan pengetahuan yang berkembang semasa permulaan persekolahan adalah penting diberikan tumpuan demi untuk memajukan pembelajaran matematik.  Matematik merupakan wadah terbaik untuk mengembangkan profisiensi intelektual individu dalam membuat penaakulan logik, visualisasi ruang, analisis dan pemikiran abstrak. Murid mengembangkan kemahiran numerasi, penaakulan, cara berfikir dan menyelesaikan masalah melalui pembelajaran dan aplikasi matematik. 

Matlamat pendidikan matematik sekolah rendah ialah untuk membina dan mengembangkan kefahaman murid dalam konsep nombor dan kemahiran asas mengira (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1995).  Sehubungan dengan itu, program Matematik sekolah rendah memberi tumpuan kepada kemahiran mengira iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi dalam penyelesaian masalah harian secara berkesan dan penuh tanggungjawab. Penekanan terhadap aspek kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif yang berteraskan penyelesaian masalah juga dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Matematik. Terkini kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) juga sangat ditekankan dalam pembelajaran matematik.

Kajian-kajian lepas menunjukkan pengetahuan asas dalam pembelajaran matematik merupakan aspek penting bagi murid untuk menguasai matematik. Selain itu, kajian-kajian yang lepas juga mendapati bahawa murid-murid yang kurang memahami masalah matematik menggunakan pendekatan hafalan untuk mempelajari matematik. Murid ini hanya menghafal fakta-fakta, konsep serta kaedah penyelesaian masalah untuk menyelesaikan masalah matematik. Oleh sebab itu, mereka hanya mampu menyelesaikan masalah topik yang berkaitan sahaja tetapi mereka tidak dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi untuk topik-topik lain.

Justeru, penyelesaian masalah dalam matematik ialah fokus kurikulum dan menjadi tujuan utama semua pengajaran dan aktiviti matematik KSSR. Penyelesaian masalah bukanlah satu topik yang berasingan tetapi satu proses yang meliputi seluruh program pengajaran dan perlu diberi penekanan yang lebih selain penguasaan konsep asas demi untuk melahirkan insan kelas pertama.


1.2 Latar Belakang Kajian

Pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran matematik. Antaranya  mempelbagaikan strategi dan heuristik, melaksanakan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif iaitu pengintegrasian teknologi serta melaksanakan KBAT  dalam penyelesaian masalah matematik. Semua tindakan ini adalah untuk meningkatkan kebolehan pelajar dalam menguasai ilmu matematik. Menurut Noor Azlan (1995), dalam Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia, kurikulum mata pelajaran matematik telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka hinggalah sekarang. Begitu juga dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa peka terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Penyelesaian masalah  merupakan satu komponen penting dalam pengajaran matematik kerana ia terkandung dalam semua topik pembelajaran. Ia juga merupakan bentuk pembelajaran pada tahap yang tertinggi (Gagne, 1985). Penguasaan kemahiran penyelesaian masalah ini perlu diberi penekanan sewajarnya supaya pelajar dapat menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan. Penggunaan pelbagai strategi dalam penyelesaian masalah termasuk langkah penyelesaian perlu diperluaskan penggunaannya. Menurut Lim Poh Moi (1998) perkembangan pemikiran yang mantik, sistematik, analitis, kritis serta penaakulan yang sah bagi melahirkan individu yang berfikiran secara mantik dan rasional. Bagi meningkatkan penguasaan murid dalam penyelesaian masalah matematik, pelajar hendaklah dapat mengenalpasti komponen yang terdapat dalam masalah yang diberikan.

Satu kaedah pengajaran matematik iaitu kaedah Model Method  didapati berkesan dalam penyelesaian masalah matematik. Ia boleh membantu meningkatkan kefahaman dan memberi gambaran terhadap masalah secara mudah dan seterusnya menyelesaikan masalah tersebut. Pengajaran menggunakan kaedah ini telah dijalankan oleh 86% sekolah rendah di Singapura (Clark, 2010). Kaedah Model Bar yang digunakan di Singapura dan negara barat lain didapati sangat berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran penyelesaian masalah di mana pelajar diminta untuk membina gambarajah bar daripada masalah yang diberi. Ia telah didedahkan dan dijalankan kepada pelajar bermula dari gred 2 lagi dan diteruskan sehingga  ke peringkat menengah. Kaedah ini sangat membantu pelajar dalam mendapatkan gambaran dalam bentuk visual dan seterusnya mengetahui operasi yang perlu dijalankan dalam menyelesaikan penyelesaian masalah matematik.

Pengkaji terpanggil untuk mengkaji dan menguji keberkesanan kaedah ini terutamanya kepada pelajar tahap satu. Merujuk teori perkembangan Jean Piaget, umur 7 hingga 11 tahun merupakan tahap operasi konkrit. Bagi murid-murid tahap satu yang terdiri daripada tahun satu, dua dan tiga, minda dan pemikiran mereka masih lagi belum berupaya untuk mencerna dan memahami idea-idea abstrak. Mereka sangat memerlukan bahan-bahan konkrit dan model-model pembelajaran bagi membantu mereka memahami konsep dan penyelesaian masalah dalam subjek Matematik.



1.3  Pernyataan Masalah

Penyelesaian masalah ialah satu bidang matematik yang tersendiri dan istimewa kerana perkara ini lebih berkait rapat dengan situasi dan pengalaman harian. Penyelesaian masalah merupakan kemuncak bagi melengkapkan setiap topik dan konsep matematik yang dipelajari sebab ianya menguji kepintaran berfikir dan kemahiran lain seperti kemahiran dalam fakta asas, menaakul masalah, operasi, menyusun data, menggunakan pelbagai konsep matematik dan menyemak secara logik.

Matematik sering dianggap oleh pelajar sebagai mata pelajaran yang sukar dipelajari. Bagi pelajar yang mengalami kesukaran dalam memahami konsep dan kemahiran matematik perlu dikenalpasti bidang kelemahan mereka dari awal. Dengan membuat diagnostik pada peringkat awal, program-program pemulihan yang bersesuaian  dapat dilaksanakan sebelum melangkah ke tahap pembelajaran matematik yang lebih tinggi. Dikhuatiri jika tidak dibantu dan dibimbing, mereka akan terus berhadapan dengan kegagalan yang akhirnya akan hilang motivasi untuk belajar dan seterusnya membenci mata pelajaran matematik.

Pada umumnya pendidik matematik masa kini telah bersetuju bahawa pengajaran dan pembelajaran penyelesaian masalah adalah aktiviti bilik darjah yang penting dan perlu diberikan perhatian. Justeru itu, penumpuan telah diberikan kepada penggubalan kurikulum yang mementingkan penguasaan kemahiran dan strategi penyelesaian masalah. Teknik yang sesuai juga diamalkan untuk menilai tahap prestasi pelajar dan mengenal pasti kesukaran yang dihadapi pelajar dalam penyelesaian masalah matematik berayat (Yeong, 2009).

Proses memahami masalah merupakan peringkat kedua berdasarkan teori Taksonomi Bloom dalam pembelajaran matematik. Peringkat pemahaman masalah adalah penting untuk memilih heuristik yang bersesuaian bagi menyelesaikan masalah.  Justeru, dalam penyelesaian masalah  kita perlu mengetahui persoalan-persoalan berikut :

i)          Adakah guru telah melaksanakan kaedah penyelesaian masalah yang bersesuaian semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran ?
ii)         Adakah guru menggunakan alat bantu mengajar yang dicadangkan oleh pakar        matematik semasa menerangkan konsep atau semasa proses pengajaran dan                  pembelajaran berlaku ?
iii)        Adakah murid telah menguasai sepenuhnya operasi asas semasa di tahun 1 ?

Berdasarkan kepada pengalaman mengajar matematik tahap satu selama sepuluh tahun, didapati sebahagian murid agak sukar untuk menyelesaikan masalah matematik dan sering bertanya guru untuk menentukan operasi yang akan digunakan apabila menjawab soalan penyelesaian masalah. Pengkaji rasa terpanggil untuk mengkaji masalah ini, dengan menggunakan Model Method dan melihat akan keberkesanannya.  

1.4  Kerangka Konseptual

Kerangka konseptual kajian telah dibentuk supaya kertas projek ini tidak terkeluar dari objektif dan hanya membincangkan teori-teori yang berkaitan sahaja.




Soalan penyelesaian masalah
(Darab & Bahagi)

Model Method

Kaedah Konvensional

Keberkesanan Kaedah
 














Rajah 1.1 : Kerangka konseptual
Kerangka konseptual merupakan asas kepada  keseluruhan kajian. Ianya menunjukkan hubungan di antara penyelesaian masalah dalam operasi darab dan bahagi dengan keberkesanan Model Method yang dilaksanakan. Penyelidik dalam kajian ini juga cuba meninjau adakah terdapat hubungan antara prestasi dan minat pelajar dengan heuristik yang dijalankan.

1.5  Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk menentukan sejauh mana  keberkesanan penggunaan Model Method dalam penyelesaian masalah darab dan bahagi tahun 2. Kajian ini juga bertujuan   membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam penyelesaian masalah Matematik Tahun 2. Kajian ini akan menumpukan kepada dua operasi asas matematik iaitu darab dan bahagi.

Kajian ini secara terperincinya ingin mencapai objektif berikut :
i.                    Mengenalpasti keberkesanan menggunakan Model Method dalam penyelesaian masalah matematik darab dan bahagi Tahun 2.
ii.                  Mengenalpasti punca-punca kesilapan murid menyelesaikan masalah menggunakan Model Method.
iii.                Mengenalpasti sama ada minat murid terhadap matematik meningkat selepas  menggunakan Model Method dalam penyelesaian masalah matematik.

     
1.6  Soalan Kajian

Berikut adalah persoalan-persoalan yang berkaitan bagi mencapai tujuan dan objektif kajian ini, iaitu :
a)      Adakah pencapaian murid meningkat apabila menggunakan Model Method?
b)      Adakah murid melakukan kesilapan semasa menyelesaikan masalah apabila menggunakan Model Method?
c)      Adakah minat murid meningkat dalam pembelajaran matematik apabila menggunakan Model Method?

1.7  Kepentingan Kajian

Kajian yang dijalankan ini diharapkan akan dapat membantu dan memberi manfaat kepada pemahaman pelajar dalam penyelesaian masalah matematik tahun 2. Kajian ini juga memberi gambaran sebenar terhadap kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dalam penyelesaian masalah matematik. Penggunaan Model Method di dalam penyelesaian masalah matematik  yang dianalisis dalam kajian ini memberikan maklumat yang berguna bagi membantu guru-guru matematik menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, khususnya penyelesaian masalah matematik. Ia adalah untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran seorang guru terhadap penyelesaian masalah matematik.

Selain itu, diharap kajian ini juga dapat membantu pelajar supaya lebih berkeyakinan dan lebih sistematik dalam proses pembelajaran dan menjawab soalan penyelesaian masalah matematik  daripada yang mudah hinggalah kepada yang lebih kompleks serta memastikan guru dapat mewujudkan suatu pengajaran yang berkesan bagi meningkatkan tahap pencapaian dalam mata pelajaran matematik. Kajian ini juga diharapkan akan menjadi salah satu bahan rujukan untuk penyelidik lain yang berminat untuk membuat kajian lanjutan.


1.8  Batasan Kajian

Batasan kajian ini hanya tertumpu pada sebuah sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Rawang. Kajian ini melibatkan 60 orang pelajar Tahun 2 yang merupakan murid perdana berdasarkan saringan linus di tahun 1, 2014. Pengkaji menggunakan keputusan gred matematik sekolah untuk melihat tahap pencapaian awal dalam bidang matematik. Melalui pemerhatian di dalam kelas dan ujian saringan linus, pengkaji juga mendapati tahap penguasaan dan pemahaman mereka dalam soalan penyelesaian masalah matematik agak lemah. Faktor-faktor lain seperti taraf ekonomi, penguasaan bahasa, latar belakang keluarga, kecacatan fizikal dan jenis kaum tidak diambil kira dalam kajian ini. Pengkaji ingin melihat keberkesanan penggunaan Model Method dalam penyelesaian masalah matematik di kalangan pelajar tersebut. Hasil kajian ini tidak menyeluruh kepada semua murid Tahun 2 di sekolah ini.

1.9  Definisi Operasional

Definisi-definisi yang digunakan dalam skop kajian ini adalah seperti di bawah :

1.9.1        Keberkesanan

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2007), keberkesanan ialah perihal berkesan, berkesannya ( sesuatu tindakan, perubahan dan sebagainya ). Melalui kajian ini, penyelidik mahu melihat keberkesanan pelajar dalam meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah matematik selepas pengajaran penyelesaian masalah Model Method dijalankan. Keberkesanan ini diukur berdasarkan peningkatan skor ujian pra dan juga ujian pos yang akan dijalankan.

1.9.2        Model Method

Model Method merupakan satu kaedah penyelesaian matematik yang telah lama diaplikasikan di Singapura.  Satu heuristic yang berkesan dan digunakan dalam buku teks sekolah rendah di Singapura dinamakan gambar rajah jalur (Beckmann, 2004). “ The model method, introduced in 1983, is well accepted today by most primary school teachers, many average pupils and educated parents still find drawing block models difficult, especially when it comes to solving the word problems in arithmetic (Kho, 1987). Kajian ini akan  menguji keberkesanan kaedah  ini dalam menyelesaikan masalah matematik murid tahun 2.

1.9.3 Penyelesaian Masalah

Menurut Polya (1962), penyelesaian masalah merupakan suatu cara mencari jalan keluar dari sesuatu kesukaran atau satu cara mengatasi sesuatu halangan dan mencapai sesuatu matlamat yang tidak boleh diperolehi secara serta-merta. Dari sudut pendidikan matematik, penyelesaian masalah adalah suatu proses menangani situasi baru, membina hubungan antara fakta, mengenalpasti matlamat dan mencuba semua strategi yang mungkin ke arah mencapai matlamat (Szetela & Cynthia, 1992). Dalam kajian ini, penyelesaian masalah merujuk kepada item yang digunakan untuk melihat keupayaan pelajar dalam penyelesaian masalah matematik darab dan bahagi nombor.

1.10          Rumusan

Secara keseluruhannya,  bab ini menghuraikan latar belakang, pernyataan masalah, kerangka konseptual, tujuan, kepentingan dan batasan kajian. Sebagai rumusan, kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti keberkesanan  Model Method dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah darab dan bahagi tahun 2. Melalui kajian ini, pengkaji ingin melihat sama ada pengunaan Model Method dapat meningkatkan pencapaian murid atau pun tidak.

Pengkaji juga ingin melihat sama ada penggunaan Model Method mempengaruhi minat murid terhadap soalan penyelesaian masalah. Penggunaan Model Method yang lebih berbentuk  visualisasi dalam penyelesaian masalah ini diharap dapat membantu murid menyelesaikan soalan penyelesaian masalah matematik darab dan bahagi tahun 2 dengan lebih berkeyakinan dan lebih sistematik dalam proses pembelajaran dan memastikan guru dapat mewujudkan suatu pengajaran yang berkesan bagi meningkatkan tahap pencapaian dalam mata pelajaran matematik.



RUJUKAN

Mahizer b. Hamzah, Abdul Talib b. Mohamed Hashim, Noraini bt. Mohamed Noh dan Norazilawati bt. Abdullah; Modul KRL 3033 Kaedah Penyelidikan Dalam Pendidikan Sekolah Rendah, UPSI, Tanjong Malim, Perak.

Noor Shah b. Saad(Ph.D), Kor Liew Kee(Ph.D), Mohd Uzi b. Dollah(Ph.D) dan Rosidah bt. Ahmad(Ph.D); Modul KRM 3053 Kemahiran dalam Matematik, 2014, UPSI, Tanjong Malim, Perak.


Diambil pada 16 Mac 2015 daripada http://www.thedailyriff.com/WordProblems.pdf

Diambil pada 16 Mac 2015 daripada  http://www.wikihow.com/Teach-Singapore-Math




Diambil pada 20 Mac 2015 daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Singapore_math



1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...