Rabu, Mei 27, 2015

“KEBERKESANAN MODEL METHOD DALAM PENYELESAIAN MASALAH DARAB DAN BAHAGI TAHUN 2” BAB 3


“KEBERKESANAN MODEL METHOD DALAM PENYELESAIAN MASALAH  DARAB DAN BAHAGI
TAHUN 2”

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN


1.0        Pendahuluan

Metodologi kajian merupakan kaedah dan teknik mereka-bentuk, mengumpul dan menganalisis data sebagai bukti bagi menyokong rumusan kajian yang dilakukan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, metodologi membawa maksud sistem yang  merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan atau disiplin. Tujuan metodologi adalah untuk membantu dengan lebih terperinci lagi tentang pengaplikasian kaedah dengan membuat huraian tentang proses kajian. Aspek reka bentuk kajian terdiri daripada pendekatan kajian, persampelan kajian, cara pengumpulan data, teknik memproses data dan penulisan laporan. Reka bentuk kajian pada asasnya terbahagi kepada bentuk kuantitatif dan kualitatif.

Kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengkaji keberkesanan Model Method dalam penyelesaian masalah  darab dan bahagi murid tahun dua di SK Bukit Sentosa, Rawang. Bab ini, menggariskan bagaimana kajian dijalankan yang merangkumi reka bentuk kajian, sampel kajian, instrumen kajian, kesahan instrumen, kajian rintis, prosedur pengumpulan data dan prosedur penganalisaan data.


2.0        Rekabentuk Kajian

Reka bentuk kajian adalah satu kaedah yang dibina untuk mendapatkan maklumat bagi menjawab persoalan kajian yang dibina. Menurut Rodney, L.C (1997) menyatakan bahawa reka bentuk kajian adalah bertujuan untuk mencari maklumat bagi mencapai sesuatu matlamat penyelidikan. Matlamat penyelidikan bagi kajian ini adalah berdasarkan persoalan kajian serta objektif yang hendak dicapai. Mohd Najib (1999) menyatakan bahawa reka bentuk kajian memenuhi dua fungsi utama iaitu mewujudkan keadaan untuk perbandingan yang diperlukan oleh persoalan kajian dan membolehkan penggunaan analisis statistik data untuk membuat interpretasi tentang kepentingan kajian.

Reka bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah kajian kuantitatif. Pendekatan ini memerlukan pengkaji menggunakan pengiraan statistik untuk membuat pengolahan data. Melalui pendekatan kuantitatif, persoalan kajian boleh dijelaskan dalam bentuk numerik. Hasil dapatan daripada kajian ini boleh dihuraikan dalam bentuk perkiraan yang merangkumi nombor dan juga formula-formula yang tertentu. Pendekatan berbentuk kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk item ujian iaitu ujian pra dan ujian pos . 

Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan kelas Tahun 2. Satu kumpulan akan mewakili kumpulan kawalan (KK) dan satu kumpulan lagi akan mewakili kumpulan rawatan (KR). Bagi menjalankan kajian kuasi eksperimen ini, pengkaji memilih dua kelas yang sedia ada di sekolah. Kumpulan kawalan merupakan kumpulan murid yang menerima pembelajaran penyelesaian masalah darab dan bahagi nombor menggunakan kaedah konvensional sementara kumpulan rawatan pula ialah kumpulan murid yang didedahkan dengan penggunaan Model Method bagi menyelesaikan soalan berbentuk penyelesaian masalah darab dan bahagi nombor ini. Menurut Azizi Yahaya et al. (2007), kumpulan rawatan biasanya menerima atau mengalami satu layanan baru yang sedang dalam kajian, sementara kumpulan kawalan menerima layanan yang berbeza atau dibekalkan dalam bentuk biasa.

Kedua-dua kumpulan tersebut diberi ujian pra dan ujian pos sebelum dan selepas kajian dijalankan. Walaupun pemilihan sampel tidak dilakukan secara rawak tetapi pengkaji telah mengenalpasti bahawa sampel bagi kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai kebolehan pencapaian yang hampir sama berdasarkan peperiksaan akhir tahun 2014. Hal ini kerana, menurut Campbell & Stanley (1996), reka bentuk kuasi eksperimen adalah melibatkan dua kumpulan yang setara.

Reka bentuk kuasi eksperimen ini dipilih untuk mengenalpasti perbezaan pencapaian dalam tajuk penyelesaian masalah darab dan bahagi bagi kedua-dua kumpulan, iaitu kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Di dalam reka bentuk kuasi eksperimen ini terdapat dua pemboleh ubah yang dikaji, iaitu pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tak bersandar (bebas). Pemboleh ubah bersandar dalam kajian ini ialah pencapaian markah dalam tajuk penyelesaian masalah darab dan bahagi nombor yang diperoleh melalui ujian pra dan ujian pos manakala pembolehubah tak bersandar pula ialah kaedah pembelajaran dengan menggunakan Model Method dan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et al. (2007), satu bahagian persekitaran yang dimanipulasi adalah pemboleh ubah tak bersandar, manakala kesan tingkah laku manipulasi adalah pembolehubah bersandar, iaitu apa yang diukur.

Dalam kajian ini, kumpulan kawalan digunakan untuk melihat sebarang perubahan dalam min skor pencapaian bagi ujian pos apabila rawatan diberikan kepada kumpulan rawatan. Reka bentuk kajian kuasi eksperimen adalah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2 di bawah :


Subjek
Kumpulan
Ujian-Pra
Pembolehubah Bersandar
(Rawatan)
Ujian-Pos
Borang Soal Selidik
R
KR
T1
X
T2
T3
R
KK
T1

T2


Jadual 3.1: Reka bentuk Kajian Kuasi Eksperimen

Nota:
R         -  Pemilihan subjek adalah secara rawak
KR      -  Kumpulan Rawatan
KK      -  Kumpulan Kawalan
X         -  Pembelajaran menggunakan Model Method
T1        -  Ujian Pra
T2       -  Ujian Pos
T3        - Borang Soal Selidik



1.0        Populasi dan Persampelan

Menurut Sugiano (2006), populasi adalah wilayah generalisasi yang mempunyai kualiti dan ciri-ciri tertentu yang ditetapkan oleh pengkaji untuk dipelajari dan kemudian digunakan untuk membuat kesimpulan. Sampel pula adalah sebahagian daripada jumlah yang dimiliki oleh populasi tersebut. Seseorang pengkaji tersebut tidak mungkin dapat mengkaji keseluruhan sesuatu populasi. Oleh itu, sampel kajian diperlukan bagi membantu pengkaji untuk membuat kesimpulan bagi sesuatu populasi.

Populasi yang diambil dalam kajian ini adalah murid Tahun 2 di SK Bukit Sentosa, Rawang. Bagi pemilihan sampel kajian pula, pengkaji memilih dua kelas Tahun 2 yang terdiri daripada 60 orang murid lelaki dan perempuan yang mempunyai pencapaian yang hampir sama. 30 orang murid dikelompokkan dalam kumpulan kawalan manakala 30 orang murid lagi dikelompokkan dalam kumpulan rawatan. Taburan  responden ditunjukkan pada Jadual 3.2 di bawah.

Kelas
Kekerapan
Peratus,%
Kawalan
30
50
Rawatan
30
50
Jumlah
60
100

Jadual 3.2: Taburan Responden Berdasarkan Kumpulan

Rasional pemilihan sampel seramai 60 orang bagi kajian ini adalah berdasarkan pendapat Majid Konting (2005) yang menyatakan sampel kajian yang sekurang-kurangnya terdiri daripada 30 orang responden sudah mencukupi untuk menjalankan kajian. Mohd Najib (1999) berpendapat lebih besar peratusan sampel daripada populasi adalah lebih baik kerana penyelidik mempunyai lebih kemungkinan untuk memilih sampel yang mempunyai ciri-ciri populasi.
  

2.0        Instrumen Kajian

Instrumen kajian yang digunakan oleh pengkaji  di dalam kajian ini antaranya :
i.                    Soalan ujian pra dan ujian pos.
ii.                  Set soal selidik.
iii.                Pemerhatian.

Instrumen yang pertama ialah set soalan matematik.  Set soalan matematik terbahagi kepada dua iaitu Ujian Pra(Lampiran A) dan Ujian Pos(Lampiran B).  Keputusan murid daripada soalan ini adalah untuk membandingkan pencapaian murid kumpulan rawatan (KR) dan murid kumpulan kawalan (KK) dan seterusnya menganalisis keberkesanan kaedah Model Method yang digunakan.

Instrumen yang kedua pula ialah satu set soal selidik(Lampiran C).  Set soal selidik ini adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan minat murid terhadap matematik selepas pengajaran Model Method. Set soal selidik ini hanya diberikan kepada murid kumpulan rawatan sahaja (KR).      

Instrumen ketiga pula ialah melalui pemerhatian guru(Lampiran D).  Pemerhatian ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang berbeza. Instrumen ini adalah untuk menilai keberkesanan kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru dan mengenal pasti amalan pembelajaran murid, serta menilai peningkatan minat dan kesungguhan murid dalam menyelesaikan masalah pembelajaran.


3.0        Kesahan Instrumen

Menurut Naimah (2012) menyatakan bahawa kesahan merujuk kepada sesuatu yang bererti dan berguna yang disimpulkan daripada skor ujian. Skor adalah konsep yang penting dalam konteks pengukuran konstruk ataupun gagasan seperti sikap, motivasi, persepsi, kecergasan dan pencapaian. Apabila seseorang penyelidik telah berjaya  menghasilkan dan membina instrumen bagi mengukur data yang sepatutnya diukur, hasil kajian itu dianggap baik dan sesuai untuk dijalankan dan borang soal selidik bolehlah diedar berdasarkan pendapat Azizi Yahaya et al. (2006) dalam kajian mereka yang bertajuk ‘Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan’.


4.0        Kajian Rintis

Bagi mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian ini, kajian rintis digunakan. Kajian ini mirip kepada kajian sebenar tetapi jumlah responden tidak mengikut jumlah responden sebenar. Menurut David (2011), fungsi kajian rintis ini ke atas soal selidik adalah bagi menyemak kejelasan dari segi aspek-aspek, arahan dan susun atur soal selidik tersebut. Ia juga bagi mendapat maklum balas tentang kesahan dan kebolehpercayaan terhadap aspek-aspek soal selidik. Bagi menjalankan kajian rintis ini saya telah memilih seramai 10 orang responden dari kelas Tahun 2 Cempaka yang tidak terlibat dalam kajian ini, dan instrumen kajian yang sama digunakan.


5.0        Tatacara Pengumpulan Data

Prosedur pengumpulan data dikategorikan kepada sebelum dan semasa kajian dijalankan. Semasa kajian dijalankan kelak, pengkaji akan menuruti prosedur pengumpulan data iaitu dimulai dengan ujian pra yang ditadbir sebelum mengajar tajuk penyelesaian masalah darab dan bahagi bagi murid-murid Tahun 2 yang terlibat. Ini diikuti dengan ujian pos yang akan diedarkan tiga hari selepas mengajar tajuk penyelesaian masalah darab dan bahagi Tahun 2. Untuk sesi yang seterusnya, murid daripada kumpulan rawatan (KR) diminta menjawab borang soal selidik yang disediakan bagi melihat tahap minat murid terhadap soalan penyelesaian masalah darab dan bahagi selepas diperkenalkan dengan Model Method.  


6.0        Tatacara Penganalisisan Data

Pengkaji memerlukan dua set instrumen yang akan diguna pakai apabila hendak menulis laporan terakhir kajian. Murid akan dikehendaki menjawab kedua-dua set instrumen secara bertulis. Pertama, pengkaji akan memastikan semua murid menjawab soalan-soalan ujian pra dan ujian pos. Penilaian dibuat ke atas jawapan murid dan disemak berdasarkan skema jawapan yang telah disediakan. Keputusan ujian pra dan ujian pos akan dianalisis dengan membandingkan min pencapaian murid bagi kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan.

Data-data daripada ujian pra dan ujian pos serta data daripada borang soal selidik akan dianalisis berdasarkan ujian statistik dan statistik deskriptif. Analisis statistik merupakan satu prosedur untuk mengukur dan menerangkan data kuantitatif (Wiersma, 2000). Menurut Azizi et al. (2007) pula, analisis statistik digunakan untuk menghuraikan ataupun membuat ringkasan pada maklumat atau pun data yang diperoleh. Kemudian data-data yang diperolehi nanti akan dianalisis dengan menggunakan perisisan SPSS (Statistic Package for Social Science) dan mengikut prosedur berikut :

            a) Perbezaan markah ujian pra dan ujian pos bagi setiap murid akan dicari untuk                     kumpulan kawalan dengan menggunakan ujian t.
            b) Min skor kesukaran item soalan akan digunakan untuk mengetahui tahap soalan                  penyelesaian masalah darab dan bahagi.


7.0        Rumusan

Sebagai kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa dalam bab ini, pengkaji telah membincangkan dan menghuraikan tentang penggunaan reka bentuk kajian, populasi dan persampelan serta instrumen kajian. Pengkaji juga telah membincangkan cara pengumpulan data dan penganalisaan data yang dilakukan. Data-data yang akan dikutip diharapkan dapat membantu penyelidikan untuk membuat kajian tentang keberkesanan penggunaan Model Method dalam tajuk penyelesaian masalah darab dan bahagi terhadap pencapaian murid Tahun 2. Selain itu, data ini akan menjadi panduan kepada para pendidik untuk merancang strategi pengajaran dan pembelajaran penyelesaian masalah darab dan bahagi dengan lebih baik. Diharap bab ini dapat menjelaskan keseluruhan metodologi kajian dengan baik.



Rujukan
                       
Ee Ah Meng. (1998). Pengujian dan Penilan, Pemulihan, Pengayaan dan Pendidikan         Inklusif. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman

Erickson, D.K.(2000). A Problem-based Approach To Mathematics Instruction. Mathematics       Teacher. 92 (6):516-521.

Hassan Pardi. (1998). Pola kesilapan murid tahun 3 menyelesaikan masalah bercerita dalam           matematik: satu kajian kes. Tesis M.Ed., Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Noor Shah Saad.(2005). Pengajaran Matematik Sekolah Rendah & Menengah: Teori dan Pengkaedahan: Petaling Jaya:Harmoni Publication & Distributors Sdn Bhd


Mohammad Najib Abdul Ghafar.(1999). “Penyelidikan Pendidikan”.1st Edition. Johor Bahru:
Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Majid Konting. (1993). “Penyelidikan Pendidikan”. Johor Bahru : Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.




3 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...